Tuesday, October 06, 2009

Leonardo anggap Ronaldinho bukan lagi hebat

JURULATIH AC Milan, Leonardo menganggap Ronaldinho bukan lagi pemain hebat seperti sebelumnya.

Bekas pemain terbaik dunia dan Eropah itu tidak diletakkan dalam kesebelasan utama ketika kemenangan 1-0 ke atas Bologna baru-baru ini dan Leonardo berkata, Ronaldinho berdepan masalah kembali pada prestasi terbaik. “Dia pemenang Ballon d’Or dan adalah normal untuk dirinya dianalisis, tapi saya fikir banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. “Memang benar Ronaldinho bukan pemain yang sama seperti tiga tahun lalu biarpun dia mempamerkan beberapa persembahan yang agak baik tahun ini,” katanya.

Bekas jurulatih Napoli dan Fiorentina, Emiliano Mondonico pula menganggap Ronaldinho tidak cukup bagus untuk menjadi pemimpin di Milan dan menuju ke era kejatuhan. “Dia tidak mempunyai karakter atau kualiti menjadi pemimpin di Milan. Setakat ini dia kurang meyakinkan,” katanya.

Begitupun, presiden Barcelona, Joan Laporta percaya Ronaldinho akan kembali mencapai prestasi terbaiknya. “Saya fikir Ronaldinho akan kembali menemui sentuhannya kerana dia pemain hebat,” katanya.

Legenda Milan, Franco Baresi turut mempertahankan Ronaldinho. “Saya fikir Ronaldinho tetap penting untuk Milan,” katanya.

Penjualan Kaka ke Real Madrid sepatutnya memberikan peluang kepada Ronaldinho untuk menyinar tapi sejak perlawanan pembukaan musim ini di Siena, dia gagal menyerlah.

Ronaldinho mempunyai kontrak dengan Milan sehingga Jun 2011.

No comments:

Post a Comment